Pengurusan Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan di Sekolah: Cabaran dan Realiti
Environmental Health and Safety Management in Schools: Challenges and Realities
Editors Nur Azalina Suzianti Feisal, Noor Haziqah Kamaludin, Cheah Wai Yan
Buku suntingan bertajuk Pengurusan Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan di Sekolah: Cabaran dan Realiti mengetengahkan wacana saintifik mendalam mengenai kepentingan mewujudkan ekosistem sekolah yang selamat, sihat, dan kondusif untuk kesejahteraan warga sekolah, terutamanya murid sekolah. Sekolah bukan sahaja berfungsi sebagai pusat penyampaian ilmu, malah merupakan ruang tumbesaran fizikal, emosi, dan sosial yang memerlukan sistem perlindungan serta tata kelola menyeluruh daripada pelbagai risiko kesihatan persekitaran dan keselamatan semasa. Naskhah ini menghimpunkan sepuluh bab penyelidikan dan analisis kritis yang disusun mengikut tiga teras utama. Teras pertama berfokus kepada ergonomik, fizikal, dan reka bentuk persekitaran pembelajaran, yang mengupas strategi pelaksanaan intervensi ergonomik, analisis postur duduk serta beban fizikal terhadap kesihatan muskuloskeletal murid, dan penerokaan perspektif pelajar dalam mereka bentuk persekitaran sekolah yang sihat dan selamat. Teras kedua merangkumi tata kelola keselamatan, kualiti alam sekitar, dan persekitaran fizikal, yang membincangkan jurang antara aspirasi makro dan realiti mikro dalam tata kelola keselamatan sekolah, isu keselamatan makanan, pendedahan murid kepada pencemaran udara berkaitan trafik (TRAP) di zon menunggu kenderaan, serta penilaian impak gelombang haba dan suhu melampau terhadap kesihatan pelajar. Teras ketiga memberi tumpuan kepada kesejahteraan emosi, kesihatan mental, dan dinamika sosiokomuniti, dengan meneliti peranan guru sebagai barisan hadapan kesihatan mental semasa bencana, cabaran guru bimbingan dan kaunseling dalam menguruskan kaunseling krisis, serta pendekatan kepimpinan responsif gender dan peranan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) Islam dalam menangani isu buli di sekolah. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada para pengarang atas sumbangan ilmu yang amat bernilai ini. Sekalung ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pihak penerbit serta semua pihak yang menjayakan penerbitan naskhah ini. Semoga buku ini menjadi rujukan berimpak tinggi buat penggubal dasar, pihak pentadbir sekolah, pendidik, dan penyelidik dalam memperkasakan agenda kesihatan persekitaran serta keselamatan sekolah di Malaysia.
View chapter list


