Pertanika Journals · Universiti Putra Malaysia Press
Pertanika UPM Journals Facebook
Established 1978 · Universiti Putra Malaysia Press

Research across disciplines. One Pertanika.

International peer-reviewed journals advancing research in tropical agriculture, science and technology, social sciences and humanities, with open scholarly access across the Pertanika family.

PJTAS Tropical Agricultural Science PJST Science & Technology PJSSH Social Sciences & Humanities
UPM Press · Chapter-in-book publishing

Pertanika Book Series

Discover books published by UPM Press, browse their chapter lists and open individual chapter records through the same clear discovery experience used across Pertanika journals.

Books → Chapters Searchable DOI-ready publication records
Published collection

Published books

Select a book to view its chapter list.

2026
Simposium BM · Culture and Religion / Budaya dan Agama

Tradisi Naratif, Bahasa dan Jati Diri: Akal Budi, Nilai dan Warisan Alam Melayu

Narrative Tradition, Language and Identity: Wisdom, Values and the Heritage of the Malay World

Editors Mohd Firdaus Che Yaacob

E-ISBN 9786297114521 10 chapters

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan pujian dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin, taufik, dan limpah kurnia-Nya, naskhah ilmiah suntingan bertajuk Tradisi Naratif, Bahasa dan Jati Diri: Akal Budi, Nilai dan Warisan Alam Melayu ini berjaya diterbitkan secara rasmi oleh Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM Press). Penerbitan naskhah ini melakar satu penanda aras yang amat signifikan dan berprestij dalam landskap akademik global. Naskhah ini hadir sebagai sebuah respons intelektual yang tuntas bagi memetakan semula epistemologi khazanah intelek, wahana ekspresi emosi, serta kelestarian sastera lisan yang menjadi tiang seri jati diri watan agar kekal utuh subur merentasi rantaian generasi. Keunikan, kebitaraan, dan kekuatan naskhah ini terletak pada kepelbagaian rencah sepuluh wacana penyelidikan berimpak tinggi yang mencerakin keistimewaan budaya masyarakat tempatan secara holistik, mendalam, dan komprehensif. Tirai perbincangan fasa pertama dibuka menerusi bab 1 melalui gandingan Mohd Firdaus Che Yaacob, Dania Putri Elisa Riyasnil, dan Wan Noorlizawati Wan Mat Ali bertajuk Akal Budi Melayu dan Ekspresi Emosi dalam Himpunan Cerita Rakyat Seluruh Jajahan Kelantan: Analisis Teori Pengkaedahan Melayu. Bab ini secara khusus menggunakan lensa Teori Pengkaedahan Melayu untuk membedah bagaimana manifestasi akal budi dan pancaran emosi diterjemahkan dalam naratif lisan masyarakat Kelantan. Bab 2 oleh Mohd Firdaus Che Yaacob dan Muhammad Saufi Ahmad bertajuk Akar Jati Diri di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan: Menelusuri Konsep Kepimpinan dan Integriti dalam Naratif Lisan. Bab ini menelusuri secara mendalam lokaliti Sungai Pengkalan Datu, Kelantan bagi mengenal pasti dan mendokumentasikan nilai-nilai kepimpinan serta prinsip integriti yang terkandung dalam tradisi naratif tempatan. Bab 3 oleh Siti Nurul Suhadah Tuan Adnan, Mohd Firdaus Che Yaacob, dan Nazilah Mohamad bertajuk Analisis Kata Arkais dan Laras Bahasa Istana dalam Hikayat Hang Tuah. Bab ini memberikan tumpuan kepada penyelidikan linguistik sejarah dengan menganalisis penggunaan kosa kata kuno (arkais) serta struktur laras bahasa istana yang membentuk keistimewaan teks klasik tersebut. Bab 4 oleh Mohd Firdaus Che Yaacob, Ahmad Ridhwan Che Husin, dan Nor Zuhaidah Mohamed Zain bertajuk Analisis Kesantunan Berbahasa dalam Dialog Watak Cerita Rakyat Melayu. Bab ini menilai aspek pragmatik dan sosiolinguistik dengan meneliti tahap, corak, dan aplikasi kesantunan berbahasa yang ditunjukkan melalui interaksi dialog para watak cerita rakyat. Bab 5 oleh Mohd Firdaus Che Yaacob dan Norhidayu Hasan bertajuk Cerita Rakyat: Wahana Warisan Budaya dan Identiti Bahasa. Bab ini berfungsi sebagai kajian konsep dan empirikal yang membuktikan peranan sastera lisan sebagai medium utama dalam mengekalkan kelestarian warisan budaya serta mengukuhkan identiti bahasa Melayu. Bab 6 oleh Noor Adlina Dhabitah Hassanul Farris, Mohd Firdaus Che Yaacob, dan Nor Zuhaidah Mohamed Zain bertajuk Dari Tradisi Lisan ke Pembentukan Insan: Penerapan Elemen Kerohanian dan Emosi Cerita Rakyat Kelantan Menurut Perspektif Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bab ini menghubungkan sastera rakyat Kelantan dengan hasrat pendidikan negara melalui analisis penerapan elemen nilai spiritual, moral, dan kestabilan emosi demi pembangunan modal insan. Bab 7 oleh Mohd Firdaus Che Yaacob, Wan Muhammad Wan Abdul Aziz, Mazlina Pati Khan, dan Nor Syazwani Mat Salleh bertajuk Eksplorasi Daya Imaginasi dan Gaya Bahasa Kreatif dalam Antologi Dongeng Si Siti Kecil. Bab ini membedah aspek estetika sastera kanak-kanak dengan meneliti bagaimana daya kreativiti pengarang dan manipulasi gaya bahasa diaplikasikan dalam antologi berkenaan. Bab 8 oleh Nordin Mat Ali dan Mohd Firdaus Che Yaacob bertajuk Epistemologi Islam dan Sufisme dalam Novel Wajah Seorang Wanita: Rekonstruksi Jati Diri dan Ketahanan Intelektual Wanita Melayu. Bab ini beralih kepada sastera moden bagi membincangkan teori ilmu (epistemologi) Islam dan elemen tasawuf (sufisme) yang menjadi teras kepada pembentukan kekuatan minda serta jati diri watan wanita Melayu. Bab 9 oleh Mohd Firdaus Che Yaacob, Noor Adlina Dhabitah Hassanul Farris, dan Nor Zuhaidah Mohamed Zain bertajuk Integrasi Nilai Murni dalam Korpus 101 Puteri Dunia Melayu: Sejarah dan Legenda melalui Analisis Berdasarkan Kerangka Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bab ini mencerakin himpunan kisah sejarah dan legenda tokoh wanita untuk melihat bagaimana penyerapan nilai murni dilakukan sejajar dengan matlamat melahirkan warganegara yang seimbang. Akhir sekali, naskhah ini ditutup dengan cemerlang melalui bab 10 oleh Mohd Firdaus Che Yaacob, Wan Muhammad Wan Abdul Aziz, Mazlina Pati Khan, dan Nor Syazwani Mat Salleh bertajuk Konsep Sejarah Sosiobudaya dalam Cerita Rakyat Orang Asli Temiar di Gua Musang, Kelantan. Bab penutup ini meluaskan cawangan kajian etnografi dengan mendokumentasikan rakaman sejarah, adat resam, dan sistem sosial komuniti Orang Asli Temiar melalui cerita rakyat mereka. Gabungan sepuluh bab yang digarap rapi ini bukan sahaja berjaya memperkayakan dokumentasi khazanah naratif lisan, malah memantapkan pemahaman khalayak terhadap konsep warisan alam Melayu yang utuh. Sebagai penyunting, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, apresiasi nan luhur, dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh sidang penyelidik serta sarjana atas sumbangan bab penulisan yang sarat dengan komitmen ilmu teras dalam naskhah ini. Komitmen jitu dan keazaman tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam mempertahankan piawaian akademik serta kerapian penyelidikan yang ketat telah memurnikan kedudukan naskhah suntingan ini untuk berdiri megah sebagai sebuah rujukan berwibawa tinggi di persada kebangsaan mahupun global. Akhir kata, semoga penerbitan naskhah ini berupaya mencetuskan pandangan, kesedaran, dan dinamika baharu dalam wacana kelestarian bahasa, sastera, dan budaya Melayu, sekali gus bertindak sebagai pemangkin serta rujukan rintis yang utama bagi generasi sarjana masa hadapan.

View chapter list
2026
Simposium BM · Culture and Religion / Budaya dan Agama

Keharmonian Masyarakat Majmuk dalam Perspektif Sosial, Budaya dan Sejarah

Harmony in a Plural Society from Social, Cultural and Historical Perspectives

Editors Muhammad Azizan Sabjan, Ahmad Murad Merican, Mohd Syahmir Alias

E-ISBN 9786297114262 10 chapters

Dalam era yang semakin rencam dan ditandai oleh kepelbagaian budaya, keharmonian masyarakat majmuk merupakan prasyarat penting bagi menjamin kestabilan sosial dan kelestarian pembangunan di Malaysia. Keharmonian tersebut bukan sekadar suatu gagasan atau ideal yang bersifat teoretikal, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui nilai dan amalan yang mampu memelihara keseimbangan antara kebebasan beragama, kebijaksanaan sosial, keadilan serta kelangsungan identiti budaya. Bertitik tolak daripada keperluan tersebut, buku Keharmonian Masyarakat Majmuk dalam Perspektif Sosial, Budaya dan Sejarah menghimpunkan kajian daripada pelbagai bidang bagi menelusuri cabaran, nilai dan pendekatan dalam membina serta mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk. Buku ini tidak mengehadkan perbincangan kepada dimensi sosial semata-mata, tetapi turut memperluasnya kepada persoalan agama, budaya, kesusasteraan, sejarah, pemikiran, ekonomi, pelancongan, psikologi dan kelestarian. Kepelbagaian bidang ini mencerminkan hakikat bahawa keharmonian masyarakat terbina daripada jaringan hubungan yang kompleks antara manusia, nilai, sejarah, budaya dan persekitarannya. Perbincangan dimulakan dengan persoalan agama dan budaya sebagai antara asas penting dalam pembentukan kehidupan bersama. Bab 1 meneliti nilai toleransi dalam Islam melalui naratif Ashabul Kahfi serta implikasinya terhadap pembinaan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Dimensi budaya dan warisan seterusnya diperluas dalam Bab 5, yang membincangkan kepentingan melestarikan warisan intelektual Melayu-Islam di Pulau Pinang dan Seberang Perai sebagai sebahagian daripada khazanah ketamadunan serantau. Karya kesusasteraan dan pemikiran masa lalu turut menyediakan ruang penting untuk memahami pengalaman manusia serta kebijaksanaan yang terbina daripada sejarah. Bab 2 membawa pembaca menelusuri kehalusan imaginasi dan pemikiran Raja Kalsum melalui karya Syair Saudagar Bodoh. Bab 3 pula meneliti persoalan historiografi vernakular, memori budaya dan kuasa kolonial berdasarkan naskhah Syair Kompeni Belanda Berperang dengan Cina (SKBBDC). Dalam ranah pemikiran intelektual, Bab 6 menganalisis manifestasi pemikiran Syed Hussein Alatas dalam Mitos Peribumi Malas melalui pendekatan medan semantik. Sementara itu, Bab 8 mengangkat persoalan objektiviti dan penghakiman moral dalam falsafah sejarah al-Bīrūnī berdasarkan dua karya pentingnya, Kitāb al-Hind dan al-Āthār al-Bāqiyah. Kesemua perbincangan ini memperlihatkan bagaimana teks, pemikiran dan pengalaman sejarah dapat menjadi sumber penting untuk memahami nilai, pandangan alam serta pembentukan masyarakat. Buku ini turut memperluas perhatian kepada persoalan praktikal yang berkaitan dengan kelangsungan kehidupan masyarakat pada masa kini dan masa hadapan. Bab 4 meneroka potensi daerah Sik, Kedah sebagai destinasi pelancongan astronomi dengan memberi perhatian kepada pemeliharaan langit gelap sebagai wahana yang menghubungkan pengetahuan astronomi, kegiatan ekonomi dan pendidikan budaya. Seterusnya, Bab 7 mengetengahkan dimensi psikologi alam sekitar melalui kajian awal tentang eco-anxiety dalam kalangan murid di Indonesia dengan memanfaatkan teks dan laluan afektif sastera sebagai pendekatan untuk memahami hubungan antara manusia, emosi dan alam sekitar. Bab 9 pula menilai hubungan antara persepsi dan kefahaman peserta terhadap program dengan aplikasi dalam projek melalui kajian kes Projek AZAM Tani MARDI. Akhir sekali, Bab 10 meneliti keperluan sokongan psikososial guru sekolah menengah dalam mengurus tekanan beban tugas serta implikasinya terhadap amalan kerja sosial sekolah. Kepelbagaian bidang kepakaran dan pendekatan metodologi yang dihimpunkan dalam buku ini, termasuk penyelidikan kualitatif, kajian kepustakaan serta analisis kandungan dan teks, memperlihatkan keluasan cara untuk memahami persoalan masyarakat, budaya, pemikiran dan kelestarian. Meskipun setiap bab berangkat daripada persoalan dan disiplin yang berbeza, keseluruhannya bertemu pada perhatian yang sama terhadap nilai, pengalaman manusia dan usaha memahami kehidupan bersama dalam lingkungan masyarakat yang pelbagai. Dengan demikian, buku ini diharapkan bukan sahaja dapat memperkaya wacana akademik, malah dapat memberikan manfaat kepada pelbagai kelompok pembaca, khususnya warga akademik, pendidik, pemikir, penggubal dasar serta khalayak yang mempunyai minat terhadap bidang sosiologi, sejarah, falsafah, kesusasteraan dan kajian kebudayaan. Sebagai penyunting, kami berharap himpunan kajian rentas bidang dalam naskhah ini dapat menyumbangkan gagasan, perspektif dan kerangka pemikiran yang bermakna dalam memahami kedinamikan masyarakat majmuk. Buku ini diharapkan dapat membuka ruang dialog antara bidang serta merangsang pembaca untuk melihat keharmonian masyarakat sebagai suatu proses yang sentiasa berkembang, yang menuntut pemahaman terhadap sejarah, penghargaan terhadap kepelbagaian budaya, kebijaksanaan dalam hubungan sosial dan kesedaran terhadap kelangsungan kehidupan bersama.

View chapter list